Aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dilihat mengujakan penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Ini ditambah dengan kejayaan JDT mengikat Shanghai Port 2-2 dalam aksi pertama Liga Timur ACLE pada 18 September lalu.
Dengan musuh setempat Shanghai Port, Shanghai Shenhua menjadi lawan Harimau Selatan seterusnya pada 1 Oktober ini, ramai penyokong mahu menyaksikan aksi sulung ACLE JDT di laman sendiri.
Kini, pengurusan JDT memaklumkan bilangan tiket di bahagian atas stadium untuk aksi menentang Shenhua semakin terhad. Justeru, pengurusan pasukan itu menggesa penyokong segera mendapatkannya bagi memeriahkan lagi aksi berkenaan.
Bagi penyokong yang masih belum berpeluang mendapatkan tiket, mereka boleh mendapatkannya di platform Ticket Hotline.
JDT berharap dapat meneruskan momentum positif dalam liga ke saingan ACLE. Ini termasuk kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC pada 27 September lalu.
Walau bagaimanapun, cabaran Harimau Selatan untuk ACLE sedikit tempang tanpa khidmat Enzo Lombardo. Ini selepas pemain sayap Perancis itu terpaksa disisihkan kerana masalah kecederaan.
JDT bakal berentap dengan Shanghai Shenhua di SSI pada 1 Oktober ini dengan perlawanan bermula pada jam 8.00 malam.