DPMM FC terlepas peluang mendapatkan penyerang Arema FC dari Brazil, Dalberto Luan Belo.
Sebelum ini, DPMM berharap dapat melengkapkan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu untuk mengetuai jentera serangan mereka pada musim hadapan.
Walau bagaimanapun, pengurusan kelab yang berpangkalan di Brunei itu memaklumkan Dalberto telah membatalkan perpindahan itu pada saat akhir.
Ini kerana bekas penyerang Madura United itu memaklumkan bahawa beliau telah mendapat tawaran yang lebih baik daripada tawaran DPMM.
“Dalberto nampaknya tidak akan menandatangani kontrak dengan DPMM FC. Penjaring kedua terbanyak Liga Indonesia musim lalu untuk Arema enggan menandatangani kontrak selepas ejennya meminta surat tawaran kami kepadanya.
“Beliau kemudian berkata beliau mempunyai tawaran yang jauh lebih baik di tempat lain iaitu tawaran gaji berganda daripada tawaran yang kami tawarkan kepadanya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Meskipun begitu, DPMM boleh menghela nafas lega kerana Jordan Murray memilih untuk kekal bersama pasukan itu musim hadapan.
Penyerang Australia itu telah mencetak 10 gol dan mencipta tujuh bantuan gol dalam 27 penampilan bersama DPMM musim lalu.