Penyerang Guatemala Bakal Sertai DPMM
MakanBola
Antigua GFC

DPMM FC mula membuat persiapan awal untuk menghadapi Liga Super musim 2026/27 dengan merekrut penyerang Guatemala, Oscar Santis.

Perpindahan pemain berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan kelab Brunei itu menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. Santis akan menyertai DPMM selepas tamat kontrak bersama kelabnya, Antigua GFC.

“DPMM FC telah menandatangani seorang penyerang Guatemala, Oscar Santis untuk musim 2026/2027.

“Oscar telah bermain sebanyak 55 kali untuk Guatemala sejak 2021. Pada masa ini, beliau sedang bermain untuk Antigua FC dan telah menjaringkan 11 gol setakat ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ini bakal menjadi pengalaman pertama Santis beraksi di Asia. Sebelum ini, beliau pernah beraksi di Eropah untuk kelab Georgia, Dinamo Tbilisi.

Santis juga memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa. Beliau merekodkan 56 penampilan dan 19 gol bersama skuad kebangsaan Guatemala.

Selain Santis, DPMM juga telah mengenal pasti dua lagi pemain Liga Super sebagai rekrut berpotensi untuk musim hadapan.

Meskipun identiti mereka tidak didedahkan, seorang daripadanya ialah pemain import yang mewarnai liga ketika ini.