Penyerang Iraq, Aymen Hussein meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa Amerika Syarikat (US) selepas tiba di negara itu untuk kempen Piala Dunia 2026.
Al-Jazeera+ melaporkan Aymen ditahan pihak berkuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago selama tujuh jam sebaik tiba bersama rombongan pasukan Iraq.
Tidak seperti pemain dan pegawai lain yang berjaya melepasi pemeriksaan, penyerang berusia 30 tahun itu ditahan dan disoal siasat sebelum diberi pelepasan. Seorang jurugambar yang mengiringi pasukan Iraq juga ditahan selama 10 jam dan tidak dibenarkan memasuki US.
Hal ini menyebabkan Aymen mengeluarkan kenyataan ini, “Kenapa US menjadi tuan rumah Piala Dunia jika ia memilih bersikap keras terhadap orang asing?”
Situasi yang dihadapi Aymen mencetuskan kemarahan peminat bola sepak terutama dari Timur Tengah. Ini kerana ini sama sekali menunjukkan AS langsung tidak bersikap mesra terhadap orang luar tatkala menjadi tuan rumah Piala Dunia.
Ini disusuli insiden pengadil Somalia, Omar Artan tidak dibenarkan masuk ke US walaupun memiliki pasport diplomatik negara itu.
Omar merupakan pengadil Somalia pertama terpilih ke Piala Dunia. Beliau juga antara pengadil bola sepak terbaik di benua Afrika.
15 staf pasukan Iran termasuk Presiden Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI), Mehdi Taj juga disekat daripada mendapat visa untuk memasuki AS.
Meskipun berpangkalan di Mexico, semua perlawanan Iran dalam Kumpulan G berlangsung di US. Justeru, mereka perlu masuk dan keluar dari US dalam tempoh 24 jam selepas perlawanan.