Penyerang Suphanburi FC dari Belanda, Oege-Sietse van Lingen terselamat daripada menjadi mangsa renjatan elektrik.
Portal To Doo Ball Thai melaporkan penyerang berusia 25 tahun itu mengalami renjatan elektrik semasa ditemu bual media selepas perlawanan menentang Pattaya United.
Situasi ini menyebabkan bekas penyerang Katwijk diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital.
Kini, Suphanburi memaklumkan van Lingen kini dalam keadaan stabil. Beliau akan berada di wad hospital selama sehari lagi sebelum dibenarkan pulang.
“Kemas kini terbaru tentang keadaan Oege. Doktor memintanya berada di hospital selama semalam lagi kerana bahunya dikatakan kebas dan sakit. Oege bakal menjalani ujian MRI untuk pemeriksaan lanjut,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Van Lingen memaklumkan beliau kini dalam keadaan stabil. Meskipun masih ditahan di wad, bekas penyerang F91 Dudelange itu tetap gembira kerana dapat membantu Suphanburi meraih tiga mata penuh.
“Terima kasih atas semua mesej (anda). Jangan risau, saya dalam keadaan baik dan saya sudah menghabiskan satu malam di hospital,” katanya di Instagram.
“Doktor telah menjaga saya dengan baik. Semoga Tuhan merahmati anda. Walaupun dalam situasi ini, bola sepak ialah perkara kedua.
“Tetapi saya gembira kerana dengan tiga mata yang penting (buat Suphanburi). Saya membantu menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol.”
Insiden tersebut turut menarik perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam. Beliau mengarahkan keadaan Oege dipantau sehingga beliau kembali pulih.
FAT turut mengarahkan semua kelab Thailand untuk meningkatkan aspek keselamatan kelab masing-masing bagi memastikan situasi itu tidak berulang.