Advertisement
Penyerang Tottenham Hotspur Bakal Hadiri Aksi Thailand & Singapura
Asia Tenggara
MakanBola
Tottenham Hotspur

Penyokong Thailand berpeluang melihat kelibat penyerang Tottenham Hotspur, Jude Soonsup-Bell di Stadium Rajamangala pada malam ini.

Ini selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau Madame Pang memaklumkan penyerang itu bakal menonton perlawanan terakhir Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia antara Thailand dengan Singapura.

Sebelum ini, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dengan penyerang berusia 20 tahun itu di London, England baru-baru ini.

Hasil daripada pertemuan itu menyaksikan Soonsup-Bell menyatakan kesediaan untuk mendapatkan dokumen kerakyatan Thailand.

Dan hari ini, bekas penyerang Chelsea itu ingin melihat skuad Gajah Perang yang dibimbing Masatada Ishii di atas padang. Soonsup-Bell bakal ditemani bek kanan utama Thailand, Nicholas Mickleson.

Bek kanan berusia 24 tahun itu terpaksa disisihkan Ishii selepas mengalami kecederaan semasa bersama kelab Denmark, Odense BK.

“Esok, Jude Soonsup-Bell dan (Nicholas) Mickleson akan datang untuk bersorak di stadium (Stadium Rajamangala) kerana Jude Soonsup-Bell menyatakan minat untuk bermain untuk Thailand pada masa akan datang,” kata Madame Pang dalam satu hantaran di Facebook.

Thailand bakal berdepan Singapura di atas padang baru Stadium Rajamangala untuk aksi terakhir kumpulan malam ini. Perlawanan ini bakal menentukan sama ada Thailand masih berpeluang layak ke pusingan ketiga kelayakan atau sebaliknya.