Penyokong Berpeluang Saksikan Aksi JDT & Albirex Niigata Secara Percuma

JDT ACL 8 Penyokong Berpeluang Saksikan Aksi JDT & Albirex Niigata Secara Percuma
Johor Southern Tigers
Nik Faris @nikfalovic
12:27pm 14/06/2023

Perlawanan persahabatan antarabangsa yang melibatkan pertembungan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Albirex Niigata Singapore FC memberi peluang kepada para penyokong untuk hadir ke stadium secara percuma.

Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada hari Sabtu ini, 17 Jun 2023 jam 6.00 petang memberi peluang kepada penyokong dua negara untuk menyaksikan aksi penting ini.

Bukan itu sahaja, semua pemegang Pas Bermusim JDT 2023 akan ditempatkan di kawasan Grandstand manakala mereka yang tidak memiliki pas bermusim akan melalui Pintu C.

Aksi ini juga bakal menjadi medan buat ketua jurulatih, Tano Solari untuk memperbaiki beberapa aspek penting dalam skuad Harimau Selatan.

Beberapa tonggak penting JDT bagaimanapun kini bersama skuad kebangsaan di Terengganu bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa.

JDT juga akan menyediakan perkhidmatan bas ‘shuttle’ secara percuma bermula dari Hutan Bandar MBIP, Taman Mutiara Rini ke Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan. Para penyokong boleh meletakkan kenderaan di kawasan tersebut. 

JDT kini merekodkan prestasi yang amat memberangsangkan apabila menang 14 aksi Liga Super bagi separuh musim pertama namun sudah pasti mahu mengekalkan rentak terbaik apabila liga bersambung.