Penyokong India Arahkan AIFF Jangan Sertai Pestabola Merdeka Lagi

Faisal Halim India FA Malaysia Penyokong India Arahkan AIFF Jangan Sertai Pestabola Merdeka Lagi
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
9:31am 14/10/2023

Susulan kekalahan mengejut 4-2 India di tangan Malaysia semalam, ramai penyokong mereka mendesak agar India menolak jemputan menyertai kejohanan itu lagi.

Desakan tersebut dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan Mongkolchai Pechhri dari Thailand dalam perlawanan semalam.

Salah satu keputusan Mongkolchai yang menimbulkan kemarahan penyokong The Blue Tigers ialah keengganan beliau mengiktiraf gol Lallianzuala Chhangte pada minit ke-56.

Ramai percaya gol tersebut patut dikira atas alasan ia sudah melintasi garisan sebelum dikeluarkan bek tengah negara, Dion Cools.

Biarpun ramai pemain India diketuai kapten Sunil Chettri membantah keputusan Mongkolchai, beliau tetap tegas dengan keputusan yang diambil.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Shaji Prabhakaran turut berang dengan keputusan tersebut. Beliau menyifatkan ini tidak sepatutnya berlaku dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Dirompak. Kita tidak kalah tetapi keputusannya 4-2. Kita patut bangga dengan persembahan kita. Kita bukan cipta satu tetapi banyak peluang dan beri tekanan kepada Malaysia.

“Dengan sedikit tuah, kita mungkin boleh sempurnakan semua peluang itu. Tanpa keraguan, ada kelekaan di bahagian pertahanan tetapi secara keseluruhan kita lebih baik.

“Kita sudah capai tahap ini, mari kita teruskan untuk beri yang terbaik. Pemain-pemain kita berhak menerima penghargaan yang terbaik,” katanya di platform X.

Sebaik status itu dimuatnaik, ramai penyokong The Blue Tigers menggesa AIFF agar memboikot Pestabola Merdeka kerana menyifatkan ia sebagai tidak berbaloi.

Yang pasti, Malaysia kini bakal berdepan Tajikistan di pentas final Pestabola Merdeka pada 17 Oktober ini.

Sekiranya Harimau Malaya berjaya mengatasi The Crowns di pentas final, ini bukan saja menambahbaik ranking FIFA negara. Malah, ini bakal menjadi trofi pertama yang dimenangi Malaysia di bawah bimbingan Kim Pan-gon.