Usaha Jordan untuk menutup tahun 2023 dengan kemenangan gagal apabila tewas 2-1 kepada Lubnan pada 29 Disember lalu.
Walaupun perlawanan ini merupakan perlawanan pemanas badan sebelum saingan Piala Asia 2023, sudah ada penyokong yang ragu-ragu dengan kemampuan anak buah Hussein Ammouta itu.
Lubnan meraih kemenangan menerusi gol Mohamad Haidar dan Nour Mansour. Sementara Jordan pula meraih gol saguhati menerusi Hamza Al-Dardour.
Ini sekaligus menambah kekalahan kelapan yang dialami Jordan dalam 11 perlawanan antarabangsa untuk tahun 2023 termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.
Kempen Piala Asia 2023 The Chivalrous One bakal bermula dalam Kumpulan E. Selain Jordan, kumpulan itu turut mengandungi Malaysia, Bahrain dan Korea Selatan.
Dengan Malaysia sebagai lawan pertama Jordan dalam Kumpulan E, ada penyokong yang melihat keputusan seri dengan Harimau Malaya sebagai keputusan yang realistik.
Perkara ini dinyatakan oleh pengguna Instagram, @takleb01 di ruang komen Instagram Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) baru-baru ini.
Dia merasakan dengan persembahan yang ditunjukkan anak buah Hussein itu, sukar bagi mereka untuk meraih kemenangan ke atas Harimau Malaya.
“Insya Allah, kita akan seri dengan Malaysia kerana dengan persembahan (buruk) sebegini rupa, Tuhan memberi kita keputusan bersesuaian dengan perlawanan itu,” katanya.
Sentimen sama turut dikongsi pengguna Instagram, @hassanf9a. Dia menyifatkan Jordan kini satu pasukan yang lemah dan tidak akan berupaya melepasi peringkat kumpulan.
“Kita dahulunya satu pasukan yang kuat dan berupaya bersaing untuk pusingan 16 terbaik tetapi sekarang kita terlampau lemah,” ujarnya.
Jordan mempunyai baki dua aksi pemanas badan untuk memadamkan keraguan penyokong. Mereka akan menentang Qatar pada 5 Januari 2024 dan Jepun (9 Januari 2024).
Setelah itu, The Chivalrous One bakal membuka kempen Kumpulan E dengan menentang Malaysia pada awal pagi 16 Januari 2024.