Sejak Piala Dunia 2022 diadakan di Qatar, negara tuan rumah itu sentiasa dirundung kontroversi terutama isu pekerja asing. Tetapi bagi ramai penyokong khususnya penyokong wanita, satu perkara sudah terbukti di situ: keselamatan mereka sentiasa terjamin.
Sebelum ini, Qatar sentiasa dimomokkan dengan pelbagai label oleh media Barat seperti konservatif, menindas kaum wanita dan kolot. Keputusan tuan rumah untuk tidak membenarkan penjualan arak di stadium beberapa hari sebelum kejohanan bermula juga mengundang reaksi kurang senang penyokong Barat dan penaja FIFA, Budweiser.
Tetapi sebaik para penyokong terutama yang bukan beragama Islam melihat sendiri keadaan di Qatar, ramai mengakui mereka lebih selamat di situ berbanding di negara asal mereka. Bagi Joy Nkuna dari Afrika Selatan, dia dapat berjalan pada waktu malam di Qatar tanpa perlu risau menjadi mangsa jenayah. Di negara asalnya, waktu malam dianggap waktu merbahaya kepada para wanita lagi-lagi dengan kadar jenayah yang tinggi di Afrika Selatan.

Hal sama turut diakui Tatiana Lopez dari Colombia. Semasa ditemubual stesen Al-Jazeera, Lopez berkata, “Walaupun rasa pelik lihat lebih ramai lelaki (berbanding wanita) di tempat awam berbanding di Colombia, mereka amat menghormati wanita. Dan saya boleh membawa beg di belakang dan telefon dalam kocek kerana saya tahu tiada siapa yang akan meragutnya daripada saya.”
Bagi memastikan soal keselamatan penyokong dan pengunjung semasa Piala Dunia 2022 terjamin, Qatar telah mengadakan kerjasama keselamatan dengan beberapa buah negara dari Turki hingga UAE. Tetapi bagi penduduk tempatan dan ekspatriat yang lama menetap di Qatar, hal sebegini bukan asing kepada mereka.
Satu faktor yang menyumbang kepada taraf kehidupan selamat di Qatar ialah larangan penjualan arak secara terbuka. Jika orang bukan Islam hendak beli, ia boleh didapati di bar dan premis khas. Dengan alkohol tidak dijual di stadium-stadium, ia sebenarnya menjadikan stadium lebih selamat untuk kaum wanita terutama penyokong dan sukarelawan Piala Dunia 2022.
Hal ini diakui Camila Ferrierra, seorang sukarelawan kejohanan dari Brazil. Dia berkata, “Saya tak pernah terbayang menonton perlawanan bola sepak secara bersendirian. Saya tak boleh bayang berada di luar pada lewat malam, guna telefon di tempat awam tanpa rasa takut dan dapat bersiar-siar atau menonton perlawanan bola sepak. Di sini, saya merasa 100% selamat dan itu perkara terbaik untuk kaum wanita: menikmati pesta dan perlawanan bola sepak dalam keadaan selamat dan terjamin.”
Di sebalik pelbagai label dan kontroversi yang menyelubungi Piala Dunia 2022, aspek keselamatan penyokong terutama penyokong wanita berada di tahap paling tinggi. Dan ini sesuatu yang harus difikirkan semasak-masaknya oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 sekiranya mahu menjadikan temasya anjuran mereka berjaya.