Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan tiada pasukan yang mampu kekal konsisten selama bertahun-tahun.
Komen tersebut dibuat apabila diminta mengulas kemerosotan prestasi yang dialami The Citizens sejak kebelakangan ini.
City kini berdepan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan. Terbaru, juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24 itu diikat Feyenoord 3-3 dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Kemerosotan prestasi yang dihadapi The Citizens turut disumbang dengan isu kecederaan membabitkan ramai pemain tonggak. Antara pemain yang terpaksa disisihkan Guardiola akibat kecederaan ialah Rodri, Mateo Kovasic dan Ruben Dias.
Atas sebab itu, bekas pengendali Barcelona itu menyifatkan bukan mudah untuk mana-mana pasukan kekal konsisten dalam tempoh 10 tahun lebih-lebih lagi bila dibadai isu yang dihadapinya.
“Dalam tempoh sedekad, kita sudah berada di sini. Beritahu saya, pasukan mana dalam dunia yang kekal konsisten dalam tempoh 10 tahun, pasukan itu tidak wujud.
“(Pasukan itu) tiada dalam NBA, tiada dalam tenis, tiada dalam golf, tiada dalam mana-mana sukan,” katanya seperti yang dilaporkan BBC Sport.
City berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan yang dihadapi pasukan itu bila berdepan Liverpool di Anfield pada 2 Disember.
The Reds semakin berkeyakinan di puncak liga selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Southampton pada 24 November lalu.