Advertisement
EPL: Cengkaman Liverpool Makin Kukuh, Tundukkan Southampton
EPL
MakanBola
Southampton FC

Liverpool terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Southampton di Stadium St Mary.

Liverpool berpeluang melebarkan kelebihan pendahulu kepada lapan mata sekiranya berjaya menewaskan The Saints. Ini selepas pencabar terdekat, Manchester City dibelasah 4-0 oleh Tottenham Hotspur.

Sementara Southampton pula terdesak mendapatkan tiga mata. Ini kerana sekiranya mereka tewas lagi, mereka akan ketinggalan lima mata di belakang pasukan yang menduduki kedudukan ke-17, Wolverhampton Wanderers.

Mohamed Salah terus menjadi sandaran The Reds untuk merobek gawang Southampton. Manakala tuan rumah pula menggunakan formasi 5-4-1 dengan harapan menyekat ancaman serangan Liverpool.

Separuh masa pertama menyaksikan The Reds berdepan kesukaran menembusi kubu The Saints yang dikawal lima pemain pertahanan.

Salah mula mencemaskan pertahanan Southampton menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-21. Malangnya, percubaan penyerang Mesir itu berjaya disekat penjaga gol tuan rumah, Alex McCarthy.

Kegagalan Flynn Downes mengeluarkan bola pantas direbut Dominik Szoboszlai sebelum meledakkan jaringan pertama Liverpool pada minit ke-30.

Penyokong Southampton kemudiannya ceria apabila pengadil, Sam Barrott menganugerahkan penalti pada minit ke-40. Ini selepas Tyler Dibling dijatuhkan Andy Robertson dalam kotak penalti.

Penalti Adam Armstrong pada awalnya berjaya dinafikan penjaga gol The Reds, Caiomhin Kelleher. Walau bagaimanapun, cubaan susulan Armstrong memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Liverpool terus meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan Southampton. Malangnya, setiap percubaan mereka berjaya disekat McCarthy.

Penyokong The Reds seakan tidak percaya apabila tuan rumah mendahului pada minit ke-56 menerusi Mateus Fernandez. Serangan balas pantas Southampton mudah disudahkan Fernandez melepasi Kelleher.

Situasi ini mendorong pengurus Liverpool, Arne Slot memasukkan Alexis MacAllister dan Luis Diaz untuk menambah ketajaman serangan pasukan itu.

Keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Salah mudah menolak bola ke dalam gawang kosong Southampton pada minit ke-65.

The Reds kemudiannya dianugerahkan penalti oleh Barrott pada minit ke-81. Ini selepas beliau mengesan bola terkena tangan pemain Jepun, Yukinari Segiwara dalam kotak penalti.

Salah mudah menolak bola melepasi McCarthy untuk menyumbat gol ke-10 beliau dalam EPL musim ini.

Southampton berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Liverpool terus bertakhta di puncak liga dengan 31 mata.

Manakala The Saints pula terus terperangkap di kedudukan ke-20 liga dengan empat mata daripada 12 perlawanan liga. Salah dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.8.

Selepas ini, Liverpool bakal melayan kunjungan Real Madrid di Anfield untuk aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada awal pagi 28 November. Manakala Southampton pula berentap dengan Brighton untuk aksi setempat selatan England pada awal pagi 30 November.