Advertisement
EPL: Tottenham Hotspur Tambah Derita Man City
EPL
MakanBola
Tottenham Hotspur

Kemarau kemenangan Man City terus berpanjangan apabila tewas kepada pasukan utara London, Tottenham Hotspur dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Citizens mahu mendapatkan kembali rentak kemenangan selepas tewas empat perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan. Spurs turut memburu matlamat sama selepas diaibkan Ipswich Town pada 10 November lalu.

Erling Haaland terus menjadi pilihan Pep Guardiola untuk mengetuai serangan City. Manakala kuartet serangan Tottenham diketuai Son Heung-min terus mendapat kepercayaan jurulatih Australia, Ange Postecoglou.

City hampir mendahului seawal minit ketiga menerusi Savinho. Malangnya, pemain sayap Brazil itu gagal menolak hantaran yang ditanduk Haaland ke arah gol.

Sembilan minit kemudian, giliran penjaring terbanyak EPL itu menguji penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario. Rembatan deras Haaland pantas dinafikan penjaga gol Itali itu.

Tatkala City ghairah memburu jaringan, Tottenham terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-13 menerusi pemain tengah England, James Maddison. Maddison mudah menyempurnakan hantaran Dejan Kulusevski yang menewaskan penjaga gol City, Ederson.

Tersentak, The Citizens kembali mengatur rentak untuk memburu jaringan penyamaan. Phil Foden hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16 tetapi sepakannya melepasi palang.

Penyokong Spurs di Stadium Etihad makin gamat apabila Maddison sekali lagi menewaskan Ederson pada minit ke-20. Bekas pemain Leicester City itu mudah menyempurnakan hantaran Heung-min bagi menjadikan kedudukan 2-0.

City terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Guardiola membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Nathan Ake. Ake masuk menggantikan bek tengah England, John Stones.

Pertukaran tersebut gagal mengubah momentum yang diperlukan tuan rumah. Sebaliknya, giliran Spurs menambah jaringan menerusi pemain pertahanan Sepanyol, Pedro Porro.

Dejan Kulusevski memulakan serangan balas pantas ke arah kubu City sebelum menghantar bola kepada Dominic Solanke. Selepas menyedari Ederson sudah keluar dari garisan gol, Porro pantas menyempurnakan hantaran Solanke pada minit ke-52.

Guardiola kemudiannya memasukkan Kevin de Bruyne dan Jack Grealish dengan harapan mencetuskan kebangkitan The Citizens untuk baki 19 minit.

Malangnya, kebangkitan yang dicari pengendali Sepanyol itu tidak kesampaian. Sebaliknya, pemain gantian, Brennan Johnson memastikan Tottenham meraih kemenangan 4-0 di Stadium Etihad.

Kemenangan ini bukan saja menyaksikan Spurs merapatkan jurang mata dengan pasukan kelima liga, Brighton. Malah, ini hadiah terbaik buat Maddison yang menyambut hari lahir yang ke-28.

Impak pemain tengah berpengalaman itu turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau menerima markah 9.0, 0.2 mata di hadapan Kulusevski.

City yang tewas lima kali berturut-turut dalam semua kejohanan kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali fokus kepada saingan peringkat Eropah. The Citizens bakal menentang Feyenoord pada awal pagi 27 November untuk aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Manakala Tottenham pula bersiap sedia menerima kunjungan kelab gergasi Itali, AS Roma untuk saingan Liga Europa UEFA (UEL). Perlawanan itu akan berlangsung pada awal pagi 29 November.