Malam bermakna buat pengurus Sporting Lisbon, Ruben Amorim apabila pasukan itu membelasah Man City 4-1 dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Dengan Amorim bakal mengambil alih tugas sebagai pengurus Manchester United, Sporting mahu mengekalkan rekod kemenangan 100% mereka dalam semua kejohanan. Manakala City mahu bangkit selepas tewas 2-1 kepada Bournemouth.
Meskipun berdepan masalah kecederaan, Pep Guardiola tetap menurunkan barisan terkuat termasuk Erling Haaland sebagai penyerang utama. Manakala Amorim mempertaruhkan penjaring terbanyak mereka, Viktor Gyokeres.
Separuh masa pertama menyaksikan City berusaha mencari gol awal di Stadium Jose Alvalade, Lisbon. Phil Foden menceriakan The Citizens dengan meledakkan gol dari luar kotak penalti seawal minit kelima.
Tersentak, Sporting bangkit memburu gol penyamaan. Gyokeres hampir menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu tetapi percubaannya mudah ditangkap Ederson.
Tatkala The Citizens ghairah memburu gol kedua perlawanan, Sporting mendapat talian hayat menerusi Gyokeres pada minit ke-38. Bekas penyerang Coventry City itu melarikan bola yang dihantar Geovany Quenda sebelum menewaskan Ederson.
Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol kedua perlawanan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, gol kedua Sporting menggamatkan suasana di Stadium Jose Alvalade. Tidak sampai 20 saat separuh masa kedua bermula, Maximiliano Araujo meledakkan tuan rumah di hadapan.
City terus dirundung malang apabila pengadil Jerman, Daniel Siebert menganugerahkan sepakan penalti buat Sporting. Ini selepas Siebert mengesan Josko Gvardiol menjatuhkan Trincao dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Gyokeres pada minit ke-51 untuk menjadikan kedudukan 3-1 memihak kepada Sporting.
City kemudiannya dianugerahkan penalti pada minit ke-65. Ini selepas pegawai VAR, Bastian Dankert meminta Siebert melihat insiden bola terkena tangan bek tengah Sporting, Ousmane Diomande.
Selepas melihat insiden tersebut di monitor, Siebert tidak teragak-agak menganugerahkan penalti kepada pelawat. Malangnya, penalti yang diambil Haaland terkena palang sebelum melantun keluar.
City sekali lagi ditimpa malang apabila Siebert menganugerahkan penalti kepada Sporting pada minit ke-79. Kali ini, giliran Matheus Nunes pula yang dihukum kerana menjatuhkan Catamo dalam kotak penalti.
Gyokeres tenang mengambil penalti yang menewaskan Ederson seminit selepas itu. Ini gol ke-27 penyerang Sweden itu dalam 21 perlawanan.
City berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sporting kini menduduki tangga kedua liga UCL dengan 10 mata, dua mata di belakang Liverpool.
Manakala City pula jatuh ke tangga keenam liga dengan tujuh mata. Pencapaian hatrik Gyokeres menyebabkan beliau dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan nilai 9.1 mata.
The Citizens berharap dapat menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi menentang Brighton pada 10 November. Manakala aksi Braga menentang Sporting pada awal pagi 11 November merupakan aksi terakhir Amorim sebelum berangkat ke Old Trafford.