Pengurus Manchester City, Pep Guardiola teringat kejayaan musim lalu selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.
Kekalahan yang menyaksikan Manchester City jatuh ke tangga keenam liga itu merupakan kekalahan kedua berturut-turut selepas sebelum ini turut tewas di laman sendiri di tangan musuh setempat Manchester United.
Guardiola yang ditemubual selepas perlawanan bertemu Aston Villa mengakui bahawa beliau hanya mempunyai seorang pemain pertahanan tengah yang cergas dalam perlawanan itu.
“Ia (kemenangan) bergantung kepada kita. Penyelesaiannya ialah membawa pemain kembali ke landasan asal. Kami hanya mempunyai satu pemain pertahanan tengah yang cergas, itu menyukarkan kami.
“Kami akan mencuba perlawanan seterusnya untuk satu lagi peluang dan kami tidak berfikir lebih jauh daripada itu. Sudah tentu pasti ada banyak lagi sebab kami tewas.
“Kami dibolosi dengan jaringan yang kami tidak dibolosi musim lalu. Kami tidak menjaringkan gol yang kami jaringkan musim lalu. Bola sepak bukan hanya terletak pada satu sebab sahaja,” jelas Guardiola kepada BBC.
Pada aksi menentang Aston Villa, City yang turun tanpa beberapa tonggak utama seperti penjaga gol Ederson Moraes dan Kevin De Bruyne terpaksa akur dengan dua jaringan Villa yang diledak Jhon Duran dan Morgan Rogers. Manakala jaringan saguhati City dijaringkan Phil Foden di masa kecederaan.