Juara Piala Dunia 2018, Perancis melakar kemenangan kedua apabila menewaskan Israel.
Skuad kendalian Didier Deschamps membariskan pemain utama sungguhpun tanpa kelibat kapten, Kylian Mbappe.
Perancis bermula garang apabila perancang tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga meletakkan pasukan di hadapan seawal minit ke-6.
Israel menyamakan kedudukan pada minit ke-24 sebelum bintang Chelsea, Nkunku menambah jaringan kedua Les Blues pada minit ke-28 menerusi satu rembatan kencang dari tengah padang.
Bersambung babak kedua, Perancis lebih selesa mengawal permainan menerusi hantaran-hantaran pendek untuk memecahkan pertahanan lawan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila pemain tengah, Matteo Guendouzi meledak gol ketiga pada minit ke-87 sebelum Bradley Barcola menambah jaringan dua minit berselang.
Kemenangan itu meletakkan Perancis di tangga kedua selepas 3 perlawanan dengan 6 mata, satu mata dipisahkan dengan Itali pada kedudukan teratas.
Perancis akan menentang Belgium pada aksi seterusnya, 15 Oktober dalam misi merampas kedudukan pendahulu kumpulan.