Advertisement
Perbadanan Stadium Malaysia Berguru Dengan JDT
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Keupayaan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) mentadbir dan menyelenggara kemudahan pasukan bertaraf dunia telah menarik perhatian Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Bagi memastikan usaha mengurus dan menyelenggara aset PSM berada pada tahap terbaik, delegasi PSM mengadakan lawatan ke JDT hari ini.

Tujuan lawatan PSM ialah untuk menimba pengalaman dengan JDT dari segi pengurusan kemudahan termasuk cara menyelenggara kemudahan agar ia berada pada tahap terbaik.

Delegasi ini diketuai oleh Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac. Pengurusan Harimau Selatan berkongsikan hal ini menerusi satu hantaran di laman media sosial Johor Southern Tigers.

Kehadiran delegasi PSM ini disambut oleh Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam.

Selain sesi perbincangan membabitkan badan berkanun Persekutuan itu dan pengurusan Harimau Selatan, delegasi PSM turut dibawa meninjau kemudahan-kemudahan yang dimiliki JDT.

Ini termasuk stadium keramat Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Di SSI, delegasi PSM bukan saja berpeluang melihat kemudahan seperti bilik persalinan dan lounge.

Malah, mereka turut berpeluang melihat sendiri keadaan padang SSI yang menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Pengalaman daripada lawatan ini diharap membantu PSM menambahbaik pentadbiran dan penyelenggaraan aset-aset mereka termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Dengan aksi kelayakan Piala Dunia 2026 bakal berlangsung di SNBJ pada 16 November ini, PSM mahu memastikan pengalaman pahit semasa Pestabola Merdeka 2023 tidak berulang.