Perbezaan terkini kedudukan ranking FIFA Harimau Malaya dan juga Kyrgyzstan mencuri perhatian peminat.
Skuad kendalian Kim Pan-gon bakal mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.
Rekod kebal anak didik Stefan Tarkovic di laman sendiri jelas menjadi cabaran hebat kepada skuad negara yang kini turun tanpa beberapa tonggak utama.
Kehilangan pemain seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Syafiq Ahmad dan Romel Morales diakui memberi kesan kepada pasukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Berdasarkan kedudukan ranking semasa FIFA, Kyrgyzstan kini menghuni tangga ke-100 setelah naik 4 tangga berbanding kemas kini sebelumnya.
Skuad kebangsaan pula turun 8 tangga ke kedudukan 138 dunia susulan dua kekalahan kepada Oman tempoh hari.
Malaysia turun dengan misi besar untuk memungut 6 mata bagi menyalakan harapan untuk mara ke pusingan berikutnya.
Dua aksi pemanas badan menanti Harimau Malaya yang bakal menghadapi kelab Liga Super sebagai persediaan sebelum ke Bishkek.
Skuad kebangsaan akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.
Perlawanan keenam pula akan menemukan Chinese Taipei dan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.