Peringatan Kim Sang-sik Buat Harimau Malaya
MakanBola
VFF

Jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik akur dengan kekalahan pasukan kendaliannya di tangan Harimau Malaya bagi aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.

Pengendali dari Korea Selatan itu walau bagaimanapun seolah-olah memberi peringatan kepada Harimau Malaya bahawa Vietnam dan Malaysia akan bertarung sekali lagi pada Mac tahun hadapan bagi mengejar tiket ke Piala Asia 2027.

Sang-sik berkata Malaysia sudah meningkat dengan menakjubkan namun beliau akan membuat persiapan yang lebih rapi sebelum aksi bertemu Malaysia di Hanoi kelak.

“Malaysia sudah meningkat dengan amat menakjubkan. Mereka pasukan yang kuat di Asia Tenggara. Tetapi masih ada satu lagi aksi (bertemu Malaysia) di Vietnam.

“Kami akan membuat persediaan yang lebih rapi serta dengan cara yang berbeza,” jelas Sang-sik seperti yang disiarkan Astro Arena selepas perlawanan.

Dalam aksi hangat Malaysia dan Vietnam yang dilangsungkan pada Selasa, Malaysia menampilkan corak permainan yang sangat baik apabila meledak empat jaringan di separuh masa kedua sekali gus mengakhiri perlawanan dengan keputusan 4-0.

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Dion Cools dan Corbin Ong manakala pemain sayap lincah, Arif Aiman mencuri perhatian ramai dengan dua bantuan gol.