Permintaan besar pasukan Selangor FC untuk menangguhkan aksi Piala Sumbangsih 2024 telah ditolak.
The Red Giants bakal berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024 bagi satu aksi menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kebimbangan terhadap tahap keselamatan kedua-dua pasukan mula timbul apabila berlakunya serangan terhadap pemain sayap Selangor, Faisal Halim yang disimbah dengan cecair asid sulfurik pekat oleh individu yang tidak dikenali.
Selepas itu, kenderaan yang dipandu oleh pemain tengah JDT, Safiq Rahim juga telah diserang oleh individu misteri dengan menggunakan tukul di Johor Bharu.
Menerusi satu kenyataan rasmi oleh kelab, Selangor telah meminta pertimbangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan perlawanan ini atas faktor keselamatan.
Permintaan tersebut bagaimanapun ditolak oleh MFL apabila aksi tersebut kekal berlangsung seperti yang telah ditetapkan.
“Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini (10 Mei 2024) telah diberikan oleh Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar.
“Beliau mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.
MFL pula memilih untuk meneruskan aksi ini susulan mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis.
“Justeru dengan persiapan keselamatan yang dilakukan oleh pihak Polis, MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini akan jalankan mengikut jadual termasuk Perlawanan Sumbangsih.
“Dengan jaminan keselamatan oleh pihak Polis, MFL terpaksa menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan Perlawanan Sumbangsih itu atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan,” jelas MFL dalam satu kenyataan.