Perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad futsal Malaysia dan Indonesia berakhir dengan kemenangan buat Sang Garuda di Gor Among Rogo.
Skuad negara hadir ke Yogyakarta untuk bertemu Indonesia sebagai salah satu persiapan untuk menghadapi AFF Futsal Championship pada awal bulan November di Thailand.
Rakhpol Sainetngam menurunkan barisan terkuat diketuai tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Abu Haniffa sementara barisan pemain Indonesia ditunjangi 3 tonggak Bintang Timur Surabaya.
Permulaan aksi didominasi oleh Indonesia dengan tekanan hebat ke arah kubu negara sehingga Firman Adriansyah berhasil meledak jaringan pertama seawal minit keempat.
Dua minit kemudian, Ardiansyah Runtuboy meletakkan tuan rumah selesa mendahului di hadapan setelah menyudahkan hantaran rakan sepasukan dari sisi kanan pintu gol Malaysia.
Indonesia yang berada di ranking ke-28 dunia terus berbisa dengan gol ketiga dan keempat hasil rembatan kencang Evan Soumilena pada minit ke-9 dan 20 untuk Garuda memimpin aksi.
Separuh masa pertama tamat, Indonesia 4-0 Malaysia.
Kembali dari rehat, skuad kebangsaan mula mengimbangi kekuatan lawan dengan asakan oleh Awalluddin Mat Nawi dan Syed Aizad namun penjaga gol Indonesia, Albagir tetap kebal.
Di minit ke-32, Evan Soumilena melengkapkan hatrik dengan gol kelima sebelum Samuel memastikan kemenangan besar untuk Sang Garuda seminit selepas itu.
Perlawanan di Gor Among Rogo, Yogyakarta berakhir dengan keputusan 6-0 memihak Indonesia.
Keputusan ini bagaikan satu panggilan buat skuad negara bangkit sebelum menentang Brunei dalam aksi pertama kumpulan A AFF Futsal Championship pada 3 November.