Perancang tengah muda negara, Nooa Laine optimis untuk memberikan yang terbaik bersama skuad kebangsaan sekiranya terpilih dalam senarai 25 pemain bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 22 tahun itu memilih untuk pulang ke Malaysia secara pinjaman apabila menyertai Selangor FC bagi saingan musim 2024/25.
Bintang kelahiran Finland itu bagaimanapun optimis untuk terus membawa cabaran negara sungguhpun tidak berada dalam skuad ke Piala Asia 2023 tempoh hari.
Kali terakhir pemain SJK Seinajoki itu dipanggil bagi menyertai skuad senior adalah pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.
Katanya, sungguhpun tiada aksi kompetitif sedang berlangsung ketika ini, beliau dan rakan sepasukan tetap optimis untuk memberikan yang terbaik di atas padang.
Nooa yakin segala percaturan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon adalah mengikut taktikal yang bakal diatur berdepan pasukan ke-80 dunia, Oman.
“Ya sudah pasti penting untuk saya mendapat tempat dalam skuad senior. Saya sudah terbiasa dengan persaingan, ini normal kerana kita memiliki skuad yang baik.”
“Sudah pasti ada pemain yang lebih lama bersama Malaysia tetapi setiap kali diberi peluang, saya akan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya.
Beliau juga optimis untuk memastikan Malaysia memberikan saingan terbaik kepada Oman selain mahu merekodkan kemenangan beraksi di laman sendiri pada aksi kedua.
Malaysia akan terbang ke Muscat, Oman bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 22 Mac 2024 sebelum pulang bagi aksi ke-4 di SNBJ pada 26 Mac 2024.
Harimau Malaya ketika ini mengumpul 6 mata daripada dua kemenangan dengan pasukan optimis untuk layak ke pusingan berikutnya.