Advertisement
Persiapan Syria Terjejas, Tukar Pelan Saat Akhir Bertemu Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Persiapan menjelang pertemuan antara Malaysia dan Syria bagi aksi persahabatan tidak berlangsung seperti yang diharapkan oleh pasukan gergasi Timur Tengah itu.

Pasukan kendalian Hector Cuper menerima tamparan hebat selepas hanya seri berdepan pasukan ke-98 dunia, Kyrgyzstan dengan keputusan 1-1 awal pagi tadi.

Keadaan ini bertambah buruk selepas pasukan hanya merekodkan dua kemenangan dalam 6 aksi terakhir dengan ketiadaan penyerang utama pasukan, Omar Al-Samah yang disisihkan telah mengundang pelbagai tanda tanya.

Syria mendapat satu lagi perkhabaran buruk selepas salah seorang bintang utama pasukan, Mohamed Osman tidak dapat meneruskan perjuangan kerana kecederaan.

Perkara ini telah disahkan oleh pegawai perubatan pasukan, Dr. Ahmed Kanjo sekaligus menyaksikan Syria bakal kehilangan tonggak penting menjelang pertemuan dengan Harimau Malaya.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pada doktor dan staf kerana membantu saya secepat yang boleh. Semalam, semasa menjalani latihan, saya dapat rasa ada yang tak kena pada kaki (iaitu) koyak pada bahagian otot.”

“Saya berjalan kepada doktor dan terangkan apa yang menimpa saya. Selepas imbasan MRI, kita dapat lihat sedikit kerosakan (koyak) pada bahagian otot. Ia memang malang tetapi inilah bola sepak, ini sebahagian daripada permainan (bola sepak),” ujarnya sebak.

Pemain berusia 30 tahun ini berada dalam senarai 26 pemain yang sepatutnya dibawa ke Piala Asia namun terpaksa ditukar pada saat akhir.

Bintang Liga 1 Thailand bersama Lamphun Warrior ini sudah beraksi sebanyak 24 kali bersama Qasioun Eagles dan meledak satu gol.

Cuper bagaimanapun masih memiliki beberapa pilihan lain di bahagian tengah seperti perancang tengah JDT, Jalil Elias, Fahd Youssef, Mouhamed Anaz dan juga Al-Hallak yang berpengalaman luas.

Aksi Syria bertemu Malaysia dijadualkan pada 8 Januari 2024 sebagai pemanas badan terakhir sebelum melangkah ke pentas sebenar.