Pertembungan yang dinanti-nantikan antara skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia bakal menjadi kenyataan.
Perkara ini diungkapkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu temu bual bersama Harimau Malaya.
Katanya, beliau sudah pun berhubung dengan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir ketika bertemu di Kongres FIFA Kali Ke-74 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Hamidin memberi bayangan bahawa akan ada usaha untuk menganjurkan aksi 4 penjuru yang dijadualkan berlangsung di Jakarta pada aksi kalendar FIFA berikutnya.
“Saya ada bertemu Presiden PSSI, Erick Thohir dan juga Madame Pang dalam beberapa kali mesyuarat termasuk Presiden Brazil sebelum kongres bermula.
“Kita akan meneroka beberapa perkara tetapi saya akan umumkan bila tiba masanya. Ketika ini, semua masih dalam proses perbincangan.
Hamidin juga sempat bertemu dengan Presiden Bola Sepak India dan Fiji yang mahu Malaysia menyertai kejohanan empat penjuru yang bakal berlangsung di Jakarta.
“Mereka (India dan Fiji) mahu mengadakan aksi empat penjuru pada jendela FIFA Jun ini tetapi Malaysia memiliki aksi Kelayakan Piala Asia 2026.
“Mereka mungkin akan mencadangkan aksi pada bulan September atau November bagi aksi empat penjuru di Jakarta. Semua ini bergantung kepada kelayakan Malaysia ke pusingan ketiga Piala Asia 2026,” jelas Hamidin kepada Harimau Malaya.
Malaysia berjaya menewaskan India pada aksi terakhir di Pestabola Merdeka 2023 dengan keputusan 4-1 sementara Harimau Malaya tewas dengan jaringan sama pada aksi Piala AFF 2021.