Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa terdapat perubahan yang bakal berlaku dalam badan induk bola sepak negara itu.
Beliau yang ditemui selepas sesi Mesyuarat Ke-11 Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM berkata perubahan dalam badan induk merupakan perkara yang tidak boleh dielakkan dan pasti berlaku.
”Perubahan dalam FAM mesti akan berlaku, kita tidak boleh elakkan dan perubahan itu akan berlaku tidak lama lagi,” katanya kepada pihak media selepas mesyuarat.
Tambahnya lagi, perubahan tersebut bakal dilaksanakan setelah berlangsungnya Kongres Pemilihan FAM pada tahun hadapan hasil keputusan sebulat suara semua ahli gabungan yang akan hadir.
”Ini bermakna tahun 2025 akan ada Kongres Pemilihan, jadi bergantung kepada semua ahli gabungan untuk membuat perubahan atau tidak.”
Beliau berkata hanya keputusan daripada kongres tersebut yang bakal menentukan perubahan kedudukan di dalam FAM tanpa mengambil kira keinginan para peminat bola sepak yang mahukannya.
”Para peminat cuma boleh menyuarakan tetapi akhirnya Kongres Pemilihan yang akan menentukan kedudukan perubahan atau tidak,” ujar Datuk Yusoff lagi.
Mesyuarat Ke-11 Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi Penggal 2021-2025 telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Antara intipati hasil mesyuarat tersebut adalah mengenai keputusan mengambil pemain warisan yang bakal diberikan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan.
Selain itu juga, FAM turut mengumumkan mengenai penganjuran Pestabola Merdeka yang bakal melibatkan beberapa pasukan gergasi Asia pada tarikh yang bakal ditetapkan berkemungkinan besar sekitar September nanti.