Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal menentukan nasib pemain warisan yang bakal memperkuat skuad negara.
Perkara itu dinyatakan secara jelas oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Abdul Rahman selepas sesi Mesyuarat Ke-11 Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi Penggal 2021-2025 telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Antara perkara yang dinyatakan dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut ialah penetapan tarikh majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya pada Rabu, 26 Jun 2024 serta perkembangan terbaharu penganjuran Pestabola Merdeka 2024 pada September atau Oktober depan.
Skusd negara terpaksa menelan hakikat perit apabila perjalanan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 tertangguh selepas menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D.
Menurut kenyataan Noor Azman, beliau melihat bahawa terdapat beberapa aspek penting yang dibincangkan oleh FAM untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.
Hal ini termasuklah usaha membawa masuk pemain warisan untuk membantu skuad kebangsaan bagi menjayakan misi ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Katanya, usaha membawa masuk pemain warisan adalah bergantung kepada perancangan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan ketika ini.
“Untuk pemilihan pemain warisan, kita serahkan kepada Ketua Jurulatih dan barisan kejurulatihan untuk membuat penilaian.
“Selepas melakukan penilaian, barisan kejurulatihan akan serahkan kepada kita (FAM) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya ketika ditemui.
Sebelum ini, dua tonggak warisan negara, Wan Kuzain dan Kobe Chong difahamkan bakal menerima kerakyatan Malaysia sekaligus berpeluang untuk membantu skuad kebangsaan dalam tempoh terdekat.