Lima fakta menarik dijangka menghangatkan pentas final Pestabola Merdeka 2024 membabitkan Malaysia dan Lubnan.
Kedua-dua pasukan turun di pentas final dengan semangat membara untuk memburu gelaran juara kejohanan edisi 2024.
Malaysia atasi cabaran Filipina untuk menempah tiket final. Manakala Lubnan pula dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan juara bertahan, Tajikistan.
Beberapa fakta menarik tentang final Pestabola Merdeka 2024 mencuri perhatian peminat bola sepak negara.
1. Malaysia berpeluang jadi juara buat kali ke-13
Seandainya skuad negara berjaya meraih gelaran juara, Malaysia bakal menjadi pasukan meraih gelaran juara paling banyak dalam Pestabola Merdeka. Malaysia meraih kejuaraan sebanyak 12 kali termasuk dua gelaran juara secara bersama dengan Korea Selatan.
2. Lubnan impi gelaran sulung Pestabola Merdeka
Selepas berjaya mara ke final, The Cedars turut mengimpikan gelaran juara. Sekiranya mereka bergelar juara, Lubnan mengikut jejak Czechoslovakia, Tajikistan, New Zealand, Maghribi dan Uzbekistan sebagai juara Pestabola Merdeka.
3. Lubnan ikut jejak Iraq
Lubnan turut berpeluang menjadi pasukan Asia Barat pertama bergelar juara selepas Iraq. Iraq merupakan satu-satunya pasukan Asia Barat yang berjaya memenangi kejohanan itu sebanyak dua kali pada 1981 dan 1995.
4. Peluang akhiri kemarau kejuaraan selama 11 tahun.
Malaysia berharap dengan melakar kemenangan ke atas Lubnan, mereka dapat mengakhiri penantian juara Pestabola Merdeka selama 11 tahun. Kali terakhir skuad negara bergelar juara ialah tahun 2013 menerusi skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).
Harimau Muda yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee berjaya menewaskan skuad Myanmar B-23 di pentas akhir.
5. Dato’ Mokhtar Dahari kekal unggul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Bagi ramai penyerang negara, nama Dato’ Mokhtar Dahari terus menjadi inspirasi buat mereka. Penyerang legenda itu bukan saja mencipta nama sebagai peledak berbisa di peringkat antarabangsa dengan 89 gol.
Malah, legenda Selangor itu turut memahat nama dalam Pestabola Merdeka sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman. Mokhtar merekodkan 36 gol daripada 50 perlawanan kejohanan, jauh meninggalkan Kunishige Kamamoto yang merekodkan 22 gol.
Harimau Malaya bakal berentap dengan The Cedars di pentas final pada 8 September.