Lubnan mengesahkan kemaraan ke final Pestabola Merdeka 2024 apabila menyingkirkan juara bertahan, Tajikistan dalam aksi awal kejohanan.
Pasukan yang diberi jolokan The Cedars melihat perlawanan ini sebagai peluang membalas dendam. Ini selepas mereka tewas kepada The Crowns di Piala Asia 2023.
Sementara Tajikistan yang dibimbing Gela Shekiladze pula mahu mara ke final. Ini sekaligus meningkatkan peluang mereka mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi 2023.
Separuh masa pertama menyaksikan The Crowns berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi penyerang muda FC Atyrau, Fatkhullo Olimzoda.
Ini memaksa barisan pertahanan Lubnan diketuai kapten, Kassem El Zein bekerja keras menafikan asakan pasukan dari Asia Tengah itu.
Bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya hampir meletakkan The Cedars di hadapan pada minit ketujuh. Malangnya, kesilapan beliau semasa menyepak bola mengakibatkan bola mudah ditangkap penjaga gol Tajikistan, Dalerjon Barotov.
Kem Lubnan yang dipimpin Miodrag Radulovic ceria apabila pemain tengah Safa, Jihad Ayoub meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-13.
Walau bagaimanapun, keceriaan The Cedars tidak kekal lama apabila Ataya terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 akibat kecederaan. Radulovic memasukkan pemain sayap Persik Kediri, Majed Osman sebagai pengganti.
Tajikistan terus melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan Lubnan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Shekiladze membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat meningkatkan momentum serangan The Crowns.
Malangnya, Tajikistan terus buntu untuk merobohkan benteng pertahanan The Cedars yang diketuai oleh Kassem.
Aksi The Crowns dan The Cedars semakin fizikal dengan kedua-dua pasukan mula melakukan terjahan-terjahan keras. Ini memaksa pengadil perlawanan, Kamil Zakaria Ismail bekerja keras mengawal disiplin perlawanan.
Penyerang Vancouver FC, Gabriel Bitar hampir menggandakan kelebihan Lubnan pada minit ke-88. Malangnya, percubaan derasnya dari luar kotak penalti hanya melalui bahagian tepi gol.
Tajikistan berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi Lubnan kental mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan mereka layak ke final.
The Cedars bakal menanti sama ada Malaysia atau Filipina sebagai lawan mereka di pentas final pada 8 September.