Perlawanan ketiga saingan Kumpulan A hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Tajikistan dan Lubnan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Jassim bin Hammad menyaksikan Tajikistan berjaya meraih tiga mata berharga.
Aksi di separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri diraih kedua pasukan. Kedua-dua pasukan gagal mencetak sebarang jaringan sebelum menuju ke babak kedua permainan.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, Lubnan akhirnya mencetak jaringan pembukaan menerusi Bassel Jradi pada minit ke-47 permainan. Percubaan dari luar kotak penalti Bassel cantik menerjah jaring menewaskan penjaga gol Tajikistan, Yatimov Rustam.
Selepas jaringan tersebut terhasil, intensiti perlawanan semakin rancak dengan beberapa percubaan berjaya direncanakan kedua pasukan.
Aksi ini turut dicemari dengan insiden layangan kad merah kepada pemain Lubnan, Kassem Al Zein selepas individu itu dikesan bersalah menerusi bantuan VAR. Keputusan pengadil tersebut memaksa Lubnan beraksi dengan baki 10 orang pemain.
Kelebihan itu dimanfaatkan Tajikistan apabila pada minit ke-80 permainan, Tajikistan menyamakan kedudukan menerusi Umarbayev. Jaringan tersebut menjadi pencetus kepada kebangkitan anak buah Petr Segrt.
Penyerang gantian Tajikistan, Nuriddin Khamrokulov menjadi wira pasukan pada minit-minit akhir di waktu kecederaan selepas tandukkannya cantik ke gawang Lubnan sekaligus memastikan jaringan kemenangan buat Tajikistan.
Aksi tamat, Tajikistan bangkit atasi Lubnan dengan keputusan 2-1.