Pemain tengah skuad kebangsaan Malaysia, Syamer Kutty Abba menegaskan beliau dan rakan sepasukannya hanya fokus kepada diri sendiri sebelum menghadapi perlawanan pertama Pestabola Merdeka berdepan Filipina pada Rabu, 4 September.
Jurulatih Filipina, Norman Fergidero sebelum ini menyatakan dalam sidang media bahawa para pemainnya hanya sempat berlatih sehari sahaja sebelum bertemu Malaysia.
Situasi ini seakan memberi kelebihan buat Malaysia. Namun, Syamer dan rakan sepasukan tidak memikirkan hal itu kerana mereka di dalam skuad kebangsaan hanya fokus kepada pasukan sendiri serta dalam masa yang sama menghormati Filipina.
“Kami sebenarnya apabila kali pertama datang (ke kem kebangsaan), jurulatih Pau Marti tekankan kepada kami untuk fokus kepada diri sendiri sekarang. Kita tahu perubahan yang telah terjadi (pertukaran jurulatih), dengan apa yang kita ada sekarang, adalah masa depan kita.
“Apa yang kita boleh fokus, adalah diri kita. Bagi Filipina, mereka ada persediaan mereka sendiri. Kita hormati mereka. Kita tak anggap ianya (Filipina hanya sempat berlatih sehari) satu kelebihan. Bila bermain, semua akan beri sehabis baik,” jelas Syamer Kutty dalam sidang media pra perlawanan Pestabola Merdeka di Wisma FAM sebentar tadi.
Syamer merupakan salah seorang tonggak di bahagian tengah yang dijangka bakal mengemudi jentera tengah skuad kebangsaan dalam kempen Pestabola Merdeka 2024 ini.
Selain Syamer, beberapa nama besar di posisi tengah turut dipanggil memperkuatkan pasukan seperti Afiq Fazail, Nooa Laine dan Zhafri Yahya.