Pengendali Filipina, Norman Fegidero mengakui pasukan kendaliannya kini berdepan dugaan berganda menjelang aksi Pestabola Merdeka bertemu Malaysia pada Rabu.
Fegidero mengambil alih tugas selaku jurulatih sementara bagi menggantikan Tom Saintfiet yang meletakkan jawatan dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Mali.
Dengan penukaran barisan kejurulatihan ini, strategi yang bakal diterapkan oleh Filipina masih kekal misteri sekaligus memberi kesukaran bagi skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti.
Menurut Fegidero, cabaran pertama baginya adalah untuk memastikan kesemua pemain dapat berkumpul bersama memandangkan ada sebilangan kecil pemain akan tiba sedikit lewat.
”Kami menghadapi situasi di mana pasukan tiba pada hari semalam dan ada pemain yang akan tiba tengahari ini. Saya boleh katakan ini adalah cabaran untuk mempersiap pasukan.”
”(Ada pemain lewat) kerana ketersediaan penerbangan dan ada pemain yang meminta untuk hadir sedikit lewat kerana komitmen bersama kelab,” katanya ketika di sesi sidang media.
Tambah beliau lagi, disebabkan kelewatan ini, latihan rasmi yang pertama pasukan Filipina hanya akan bermula pada hari ini, sehari sebelum hari perlawanan bertemu Malaysia.
”Latihan pertama kami adalah pada hari ini,” ujar beliau yang turut ditemani penyerang Filipina, Jarvey Gayoso di sidang media.
Filipina akan menjadi lawan pertama Harimau Malaya di Pestabola Merdeka sementara Tajikistan bakal membuat perhitungan bersama Lubnan pada Rabu, 4 September ini.
Pemenang bagi kedua-dua aksi ini bakal berentap di final pada 8 September sementara pasukan yang tewas akan bertemu di aksi penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.