Bekas ketua jurulatih Filipina, Tom Saintfiet mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan seminggu sebelum menghadapi Malaysia.
Pengumuman ini dibuat oleh Pengarah Skuad Kebangsaan Filipina, Freddy Gonzalez pada Rabu yang memaklumkan Saintfiet telah meninggalkan peranan ketua jurulatih serta merta.
“Tom Saintfiet akan meninggalkan peranannya sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan lelaki Filipina berkuat kuasa serta-merta,” ujar Gonzalez dalam satu kenyataan di Facebook.
“Dari pertemuan pertama saya dengan Tom, kami telah bincangkan bahawa jika peluang yang lebih besar datang kepadanya, saya tidak akan menghalangnya.”
Tambah beliau lagi, pihak Persatuan Bola Sepak Filipina mengucapkan terima kasih atas segala khidmatnya dan mendoakan kejayaan beliau di benua Afrika kelak.
“Tom datang ke Filipina dengan niat membantu projek kami, tetapi hatinya sentiasa berada di Afrika, kami mengucapkan terima kasih atas khidmatnya dan semoga berjaya dalam peranan baharunya.”
Dengan kekangan waktu, Gonzalez optimis dapat mencari calon pengganti yang sesuai serta selari dengan misi The Azkals untuk menghadapi kejohanan besar tahun ini.
“Dengan Piala Merdeka semakin hampir, dan persiapan untuk Piala Elektrik Mitsubishi semakin meningkat, kami perlu bergerak cepat daripada ini.”
“Kami sudah melihat calon-calon untuk mengambil peranan sebagai ketua jurulatih. Saya yakin dapat mencari seseorang yang komited kepada visi kami.”
Saintfiet akan memulakan tugasan baharunya bersama Mali sebagai ketua jurulatih setelah diumumkan secara rasmi di laman web Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF).
Filipina bakal bertemu Malaysia dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula dijadualkan jam 9 malam.
Lapan pemain Eropah telah dipanggil bagi memperkuat pasukan Filipina sementara Pau Marti memanggil seramai 26 pemain terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut.