Malaysia berpotensi berdepan beberapa pasukan besar benua Asia untuk aksi Pestabola Merdeka 2024.
Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman kepada media hari ini.
Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan Tajikistan, India dan Palestin dijemput sebagai lawan Harimau Malaya pada Oktober lepas.
Ini sebahagian daripada kesinambungan usaha FAM untuk menyediakan lawan-lawan berkualiti buat skuad negara terutama menjelang kelayakan Piala Asia 2027 yang dijangka bermula pada tahun hadapan.
Noor Azman memaklumkan FAM belum menetapkan siapa lawan yang bakal dijemput untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
Pada masa sama, beliau memberi bayangan pasukan-pasukan itu bakal dijemput dari Pot 1 dan Pot 2 Kelayakan Piala Asia 2027.
“Kita belum putuskan lagi (pasukan yang bertanding) dan kemungkinan pada minggu depan, kita akan menghantar pelawaan. Tapi kalau ikutkan, kita akan ambil (pasukan) dari Pot 1 dan Pot 2,” katanya.
Mengikut info terkini, Pot 1 kelayakan terdiri daripada Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam, Lebanon dan India. Sementara Pot 2 pula terdiri daripada Malaysia, Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman.
Skuad negara muncul naib juara Pestabola Merdeka 2023 selepas dikecewakan Tajikistan di pentas final lalu.