Bek kanan skuad senior Malaysia, Matthew Davies menyeru penyokong agar hadir dalam aksi final Pestabola Merdeka 2024.
Aksi awal Pestabola Merdeka antara Malaysia dan Filipina pada 4 September lalu menyaksikan kehadiran seramai 15,800 orang. Mereka menjadi saksi kemenangan 2-1 yang dilakar skuad negara ke atas The Azkals.
Angka ini tidak sehebat angka kehadiran Pestabola Merdeka 2023 untuk aksi skuad negara menentang India dan Tajikistan. Pertembungan Harimau Malaya dan The Blue Tigers merekodkan kehadiran seramai 46,150 orang.
Sementara aksi final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan Tajikistan pula merekodkan kehadiran seramai 36,558 orang.
Atas sebab itu, Matthew mengharapkan penyokong agar hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 September ini.
Ini kerana beliau percaya kehadiran penyokong mampu membantu pasukan itu menghadapi cabaran wakil Asia Barat, Lubnan di pentas final.
“Kami menjemput anda untuk hadir. Saya rasa ini penting bagi saya bersama penyokong selepas perlawanan terakhir kerana kami menghargai penyokong yang hadir memberi sokongan.
“Walaupun yang hadir cuma beberapa ribu orang, kami dapat rasakan seolah-olah lebih ramai yang hadir. Jadi, kami hargai penyokong yang hadir dan yang bakal hadir untuk aksi seterusnya,” katanya kepada media dalam satu video Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Penyokong yang belum berkesempatan mendapatkan tiket aksi final Pestabola Merdeka 2024 boleh melakukannya di platform Ticket Hotline.
Malaysia dan Lubnan bakal berentap untuk menentukan juara Pestabola Merdeka 2024. Perlawanan bakal berlangsung pada 8 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).