Pestabola Merdeka 2024 bakal menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue pilihan untuk kejohanan berprestij itu.
Pemilihan stadium ini dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media berkenaan Pestabola Merdeka pada 1 Julai lalu.
SNBJ menjadi pilihan kerana stadium ini memiliki keupayaan mengendalikan pelbagai perlawanan bola sepak antarabangsa termasuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026.
Malah, stadium ini juga menjadi pilihan FAM sebagai venue utama Pestabola Merdeka edisi ke-42 yang diadakan pada tahun 2023.
Ditambah dengan statusnya sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya, sokongan padu penyokong dijangka ditagih untuk Pestabola Merdeka 2024.
Malaysia selaku tuan rumah bakal berdepan cabaran Tajikistan, Filipina dan Lubnan untuk saingan kali ini.
Tajikistan dijangka mahu mempertahankan gelaran juara yang diraih mereka pada edisi 2023. The Crowns muncul juara selepas menewaskan Harimau Malaya di pentas final.
Pestabola Merdeka 2024 dijangka berlangsung pada 2 hingga 10 September ini. Kejohanan ini dilihat sebagai asas persiapan Malaysia menghadapi ASEAN Championship 2024.