Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mendedahkan sebab beliau memanggil lapan pemain Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kem kali ini.
Kem Harimau Malaya kali ini menyaksikan kehadiran Muhammad Abu Khalil, Fergus Tierney, Shafizan Arshad, Alif Ahmad, Haykal Danish Mohd Haizon, Aiman Hakimi Othman, Haqimi Azim Rosli dan Ubaidullah Shamsul Fazili.
Cklamovski percaya kem ini akan membantu persediaan pemain Malaysia B-23. Ini kerana mereka bakal mengharungi beberapa tugasan besar termasuk kelayakan Piala Asia B-23 2026.
“Pada Julai ini, skuad B-23 akan menghadapi Kejohanan ASEAN B-23 di Indonesia. Jadi, ini satu bentuk persiapan buat mereka dan membantu skuad B-23 menghadapi Kejohanan ASEAN B-23.
“Tidak lama selepas itu, mereka akan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23. Ini satu pencapaian besar sekiranya mereka berjaya layak,” katanya.
Skuad Malaysia B-23 yang dibimbing Nafuzi Zain bakal mengharungi Kejohanan ASEAN B-23 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 31 Julai ini di Indonesia.
Ini disusuli pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung pada September ini. Undian kumpulan pasukan akan diadakan pada 29 Mei ini di Kuala Lumpur.