Ubaidullah Enggan Terburu-Buru Rebut Tempat Dalam Skuad Malaysia
MakanBola
Terengganu FC

Pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili enggan terburu-buru dalam merebut tempat dalam skuad Malaysia.

Ubaidullah menjadi sebahagian daripada 38 pemain yang dipanggil Peter Cklamovski untuk tiga aksi Harimau Malaya termasuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Pemain pertahanan berusia 22 tahun itu mengakui pengalaman menyertai kem kali ini sebagai satu pengalaman berharga buatnya.

Pada masa sama, Ubaidullah enggan bersikap terburu-buru dalam memburu tempat dalam Harimau Malaya.

Ini kerana terdapat ramai pemain hebat yang berada di hadapan beliau seperti Dominic Tan, Shahrul Saad dan Harith Haiqal Adam Afkar.

“Bukan mudah untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan. Saya tidak terburu-buru dalam soal kemunculan pertama, (apatah lagi) saya masih muda,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

“Kebiasaannya pemain senior lebih dipercayai dan senarai pertahanan lain seperti Harith Haiqal (Adam Afkar) dan Dominic Tan juga masih dalam prestasi terbaik.

“Walaupun tidak dapat membuat kemunculan pertama tapi pengalaman ini sangat berharga untuk saya.”

Ubaidullah merekodkan 35 penampilan, dua gol dan dua bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup untuk musim 2024/25.

Ini kali kedua beliau dipanggil menyertai kem Harimau Malaya. Sebelum ini, Ubaidullah dipanggil untuk dua aksi antarabangsa menentang Laos dan India pada November 2024.