Pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski fokus kepada aksi pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama juara ASEAN Championship 2024, Vietnam. Laos dan Nepal melengkapkan pasukan yang berada dalam kumpulan tersebut.
Aksi menentang The Gorkhalis dilihat penting buat Harimau Malaya. Ini kerana ini bukan saja peluang buat mereka meraih kemenangan pertama dalam tahun 2025.
Malah, ini juga peluang membuka kempen Kumpulan F dengan kemenangan sebelum menghadapi Vietnam pada Jun ini. Atas sebab itu, Cklamovski mahu memanfaatkan tempoh yang ada untuk membentuk skuad terbaik bila berdepan Nepal di Kathmandu.
“Itu fokus kita. Kita ada dua bulan dari sekarang sebagai tempoh persediaan membentuk skuad mantap. Kita akan bersedia untuk kem (skuad kebangsaan),” katanya kepada media selepas majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya.
“Saya tak sabar untuk lalui proses ini dan dalam mod kem latihan bersama pemain-pemain buat kali pertama. Dan kita akan bekerja keras untuk membentuk satu pasukan yang kuat.”
Harimau Malaya dijangka diperkuatkan dengan kehadiran tujuh bintang warisan baru yang berasal dari selatan Eropah.
Skuad negara berharap dapat menebus kehampaan kempen ASEAN Championship 2024 apabila menentang The Gorkhalis pada 25 Mac ini.