Jurulatih kelahiran Australia, Peter Cklamovski secara rasminya dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Perkara ini diumumkan secara rasminya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pelantikan jurulatiu berusia 46 tahun itu untuk mengemudi skuad kebangsaan.
Beliau juga memiliki reputasi dan pengalaman yang baik di Asia selepas pernah mengemudi skuad kebangsaan dan sebahagian besar kariernya berlangsung di Jepun.
Cklamovski memulakan karier kejurulatihan sebagai pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Australia (2014-2017) sebelum memegang jawatan bersama Yokohama F. Marinos (2018-2020) juga sebagai pembantu.
Beliau kemudiannya bergelar pengendali Shimizu S. Pulse dan membantu pasukan menempuhi 28 perlawanan sebelum menguruskan Monte Yamagata (2021-2023).
Cklamovski hadir ke Malaysia dengan barisan kejurulatihannya bagi memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi dengan baik.
“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekaligus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.
FAM meletakkan sasaran untuk melihat Harimau Malaya berjaya menempah tiket ke pentas Piala Asia 2027.
“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan H.
“Ini bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” ujar kenyataan FAM.
Ujian pertama jurulatih muda ini adalah untuk membantu cabaran Malaysia beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun hadapan.
Skuad negara bakal membuka tirai menentang Nepal pada bulan Mac selain diundi berdepan Vietnam dan juga Laos.