Peter Cklamovski Puji Semangat Pemain Malaysia B-23
MakanBola
Malaysia NT

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memuji bakat dan semangat yang ditampilkan lima pemain Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang menyertai kem kali ini.

Fasa pertama kem menyaksikan lapan pemain B-23 dipanggil. Antaranya Aiman Hakimi Othman, Haykal Danish Mohd Haizon, Alif Ahmad, Shafizan Arshad dan Muhammad Abu Khalil.

Kelima-lima pemain ini kemudiannya dilepaskan apabila kem Harimau Malaya memasuki fasa kedua. Ini selepas pemain-pemain JDT menyertai kem pada 25 Mei.

Meskipun mereka hanya sempat menyertai kem selama seminggu, Cklamovski kagum dengan semangat dan bakat yang ditampilkan mereka.

“Pertama sekali, lima pemain yang menamatkan kem pada akhir fasa pertama ialah pemain B-23. Mereka berbakat besar dan cukup mengagumkan saya. Ia sesuatu yang bagus bekerja dengan mereka,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Bekas pengendali FC Tokyo itu percaya pengalaman yang ditimba sepanjang kem akan membantu apabila skuad Malaysia B-23 mengharungi tugasan mencabar sepanjang tahun 2025.

“Perkara paling penting ialah mereka merasai kem Harimau Malaya seperti sekarang. Mereka berdepan tugasan penting untuk bulan-bulan seterusnya untuk program B-23.

“Mereka akan harungi Kejohanan AFF pada Julai, mereka perlu hadapi apa yang kita rancang untuk mereka pada Ogos dan pada September, kelayakan Piala Asia B-23.

“Jadi, kita mahu suntik corak permainan bola sepak, mentaliti dan profesionalisme kita ke dalam diri mereka dan bawa kepada pasukan mereka dalam beberapa bulan seterusnya,” tambahnya.

Malaysia B-23 akan mengharungi Kejohanan AFF B-23 2025 pada Julai ini. Ini disusuli pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan bermula pada September ini.