Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski telah menunaikan hajat pemain sayap, Faisal Halim.
Tonggak berusia 26 tahun itu tidak mendapat panggilan kebangsaan sejak kali terakhir beraksi bersama Malaysia pada bulan Mac tahun lalu.
Sebelum ini, anak jati Mengkuang Titi itu menyatakan hasrat untuk kembali membantu pasukan kebangsaan dan bersedia sekiranya khidmatnay diperlukan.
Pengumuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan terdapat beberapa muka baharu yang kembali dipanggil untuk memperkuat Malaysia bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Nama-nama seperti Christian Abad, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Shahrul Saad dan juga Zikri Khalili turut dipanggil.
Tumpuan bagaimanapun terarah kepada Faisal Halim yang kembali mendapat tempat sekali gus menceriakan peminat bola sepak tanah air.
Beliau kembali mendapat sentuhan jaringannya pada musim 2024/25 apabila melakar hatrik ketika Selangor merekodkan kemenangan besar 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim.
Tonggak Selangor ini merupakan antara watak penting Harimau Malaya ketika beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar terutamanya ketika mengikat pasukan ke-22 dunia, Korea Selatan.
Faisal berpluang untuk muncul dalam aksi sulung tahun 2025 apabila Malaysia vs Nepal dijadualkan berlangsung pada 25 Mac 2025 jam 10 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.