Aksi Piala Asia B-20 2027 bakal dimeriahkan dengan kehadiran 16 negara handalan termasuklah 3 wakil dari Asia Tenggara (ASEAN).
China menjadi negara pertama yang mengesahkan tempat ke Piala Asia B-20 tahun hadapan selaku pasukan tuan rumah dengan 4 venue di Hangzhou telah dicadangkan sebagai gelanggang rasmi untuk kejohanan dwitahunan ini.
15 lagi pasukan dipilihan menerusi pusingan kelayakan yang bermula dari 31 Ogos lalu hingga 6 September, dengan 8 juara kumpulan mendapat slot automatik ke sana, antaranya Korea Selatan, Uzbekistan, Korea Utara dan Tajikistan.
Manakala Arab Saudi, Iraq, Jepun dan Indonesia yang menjuarai kumpulan masing-masing turut melengkapkan senarai 8 negara terbaik pada peringkat kelayakan untuk mengesahkan tempat ke kejohanan Piala Asia B-20 tahun hadapan.
Baki 7 lagi negara menjadi tumpuan peminat apabila skuad muda Malaysia bimbingan Shukor Adan berjaya menempatkan diri dengan penuh dramatik setelah terpaksa menanti keputusan aksi lain sebelum meraih tiket ke Piala Asia B-20.
Malaysia B-19 menamatkan aksi peringkat kumpulan H di tangga kedua, dengan mengutip 5 mata (dua mata setelah kemenangan ke atas Laos tak dikira) untuk berada di kedudukan ke-7 dalam carta naib juara kumpulan terbaik.
Kemaraan pasukan Malaysia B-19 ini turut ‘dibantu’ oleh kejayaan Kuwait menewaskan Kemboja di kumpulan G, namun malangnya kemenangan 5-0 tersebut sekadar meletakkan Kuwait di tangga ke-8 dalam senarai naib juara kumpulan terbaik.
Selain Malaysia, 6 lagi pasukan yang muncul naib juara kumpulan terbaik ialah Lubnan, Oman, Iran, Jordan, Thailand dan India bagi melengkapkan senarai penuh 16 negara yang berjaya layak ke kejohanan Piala Asia B-20 2027.
Piala Asia B-20 dijadualkan berlangsung bermula 24 Mac hingga 10 April 2027 di China dengan kota Hangzhou diberikan amanat untuk menjadi hos kejohanan dwitahunan ini yang menawarkan 4 lagi slot ke Piala Dunia B-20 2027.
1- China.
2- Korea Selatan.
3- Uzbekistan.
4- Korea Utara.
5- Tajikistan.
6- Arab Saudi.
7- Iraq.
8- Jepun.
9- Indonesia.
10- Lubnan.
11- Oman.
12- Iran.
13- Jordan.
14- Thailand.
15- India.
16- Malaysia.