Malaysia terpaksa melupakan impian mara ke suku akhir Piala Asia Futsal apabila tewas 7-0 kepada Afghanistan dalam aksi kedua Kumpulan D.
Selepas tewas kepada Iran dalam aksi pertama kumpulan, anak buah Addie Azwan Zainal perlu menang baki dua aksi jika ingin mara ke peringkat suku akhir. Afghanistan pula memburu kemenangan kedua selepas menewaskan Arab Saudi.
Addie Azwan mengekalkan kesebelasan sama yang dipilih ketika menentang Iran pada 28 Januari lalu. Khairul Effendy Mohd Bahrin terus memikul tugas sebagai kapten pasukan.
Sebaik perlawanan bermula, Malaysia mula memberi tekanan kepada gawang Afghanistan yang dikawal penjaga gol, Mohammad Javad Safari.
Situasi ini memaksa Afghanistan menggunakan kelebihan fizikal mereka untuk menyekat pergerakan pemain negara. Hal ini menyebabkan pasukan itu merekodkan tiga kekasaran dalam tempoh tujuh minit.
Tatkala Malaysia mengasak, gawang skuad negara yang dikawal Syaifuddin Syukri bolos pada minit kelapan menerusi Seyed Hossein Mousavi.
Farzad Mahmoodi dan Seyed Mojtaba Husseini masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-12 dan ke-13.
Mohammad Moradi memastikan Afghanistan mendahului 4-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-15.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia berusaha memberi tekanan ke arah gawang Afghanistan tetapi gagal.
Sebaliknya, giliran Reza Hossein Poor pula mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-27. Situasi ini mendorong Addie Azwan menggunakan taktik power play untuk membantu Malaysia mencari gol.
Javad memastikan Afghanistan selesa mendahului 6-0 menerusi satu rembatan jarak jauh dari gawangnya sendiri. Omid Qanbari memastikan keputusan 7-0 milik Afghanistan dengan gol pada minit ke-39.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia Futsal. Afghanistan pula mencerahkan peluang layak ke suku akhir.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Arab Saudi pada 1 Februari. Aksi ini juga peluang terakhir buat anak buah Addie Azwan meraih kemenangan di pentas Asia.