Malaysia menutup kempen Kumpulan D Piala Asia Futsal dengan kekecewaan apabila tewas kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan.
Selepas dibelasah 7-0 oleh Afghanistan dalam aksi kedua kumpulan, peluang Malaysia layak ke suku akhir sudah tertutup.
Justeru, aksi menentang Arab Saudi dilihat peluang buat skuad negara menutup kempen Piala Asia Futsal dengan kemenangan.
Jurulatih Malaysia, Addie Azwan Zainal memilih Syawal Sabaruddin sebagai penjaga gol utama menggantikan Syaifuddin Syukri.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara berusaha mencari gol awal menerusi Awalluddin Mat Nawi, Saad Sani dan Harith Na’im Nasir.
Malangnya, gawang Malaysia bocor pada minit kelima menerusi Fahad Muhalhil Rudayni. Tiga minit kemudian, giliran Eihab Mohamed mencetak nama sebagai penjaring.
Fahad Awadh menambah derita skuad negara dengan gol ketiga pada minit ke-12. Empat minit selepas itu, Eihab sekali lagi merobek gawang Malaysia.
Kelebihan empat gol yang dimiliki Arab Saudi membolehkan pasukan itu mendahului Malaysia sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Addie Azwan memasukkan Syaifuddin untuk menghalang gawang Malaysia daripada terus dirobek pihak lawan.
Eihab terus menjadi duri dalam daging kepada skuad negara apabila menyumbat hatrik pada minit ke-23. Ini disusuli gol Abdullah Alaqeeli pada minit ke-35.
Awalluddin memastikan Malaysia meraih gol saguhati pada minit ke-39. Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Piala Asia Futsal di tangga keempat Kumpulan D.
Iran muncul juara Kumpulan D apabila menewaskan Afghanistan dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung pada Ahad.