Piala Dunia 2026: Argentina Bangkit Singkirkan Mesir Penuh Ajaib
MakanBola
AFA

Perjuangan Mesir dalam saingan Piala Dunia FIFA berakhir di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada Argentina di Stadium Atlanta awal pagi, sekali gus menghadiahkan slot suku akhir buat La Albiceleste.

Selaku pasukan pilihan, La Albiceleste menepati ramalan apabila bangkit menewaskan The Pharaohs 3-2 selepas ketinggalan 2-0 pada awalnya dengan Lionel Messi mencuri tumpuan menerusi aksi cemerlangnya.

Argentina melakukan tiga pertukaran dengan Julián Álvarez, Leandro Paredes dan Nicolás Tagliafico disenaraikan dalam kesebelasan utama menggantikan Facundo Medina, Thiago Almada serta Lautaro Martínez.

Mesir pula membuat dua perubahan apabila Mohanad Lasheen dan Haissem Hassan menggantikan Hamdy Fathy serta Omar Marmoush dalam kesebelasan utama.

Yasser Ibrahim muncul penjaring pertama perlawanan apabila menanduk masuk hantaran silang Marwan Attia untuk meletakkan Mesir di depan pada minit ke-15.

Lionel Messi berpeluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 selepas Haissem Hassan menjatuhkan Nicolás Tagliafico di dalam kotak penalti namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.

Argentina tampil lebih agresif pada separuh masa kedua selepas kemasukan Lautaro Martinez dan Nicolas Gonzalez yang memberikan lebih banyak pilihan di bahagian serangan.

Pada minit ke-58, Mesir hampir mencipta gol kedua menerusi Mostafa Zico namun pengadil membatalkan jaringan itu selepas VAR mendapati terdapat kekasaran terhadap Lisandro Martínez sebelum gol berlaku.

Usaha keras Mostafa Zico membuahkan hasil pada minit ke-57 apabila beliau menebus kekecewaan sebentar tadi dengan menjaringkan gol menerusi gerakan serangan balas pantas hasil hantaran Haissem Hassan.

Argentina merapatkan jurang pada minit ke-79 selepas Cristian Romero menanduk masuk bola hantaran silang Lionel Messi bagi mencipta kedudukan 2-1.

Lionel Messi menghidupkan semula harapan Argentina pada minit ke-83 apabila meledak gol penyamaan 2-2 hasil hantaran Gonzalo Montiel dalam situasi kecoh di hadapan gawang Mesir.

Argentina melengkapkan kebangkitan dramatik pada minit kecederaan apabila Enzo Fernandez menjaringkan gol kemenangan untuk mengubah kedudukan.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan Argentina berjaya bangkit menewaskan Mesir 3-2 dan berjaya lolos ke suku akhir dan bakal bertemu sama ada Colombia atau Switzerland pada 12 Julai.