Piala Dunia: Iran Malukan Bintang Wales
Piala Dunia
FIFAPlus
Advertisements

Wales sekali lagi kecewa apabila diikat seri tanpa jaringan dengan pasukan gergasi Asia, Iran dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Dunia 2022 di Stadium Ahmad bin Ali.

Dengan ranking kedua-dua pasukan hanya selang satu anak tangga, permainan seimbang ditampilkan Wales dan Iran pada babak pertama. Bagaimanapun, Team Melli hampir mendahului menerusi gol mudah Ali Gholizadeh pada minit ke-15 tetapi ia dibatalkan oleh VAR kerana pemain sayap Charleroi itu berada pada kedudukan ofsaid.

The Dragons terus cemas apabila sepakan percuma Ramin Rezaeian dihantar ke kotak penalti mereka pada minit ke-22. Bagaimanapun, tandukan penyerang Bayer Leverkusen Sardar Azmoun tidak menepati sasaran. Empat minit selepas itu, Azmoun sekali lagi menguji kubu Wales selepas mendapat hantaran Majid Hosseini tetapi berjaya disekat bek tengah Rennes, Joe Rodon.

Advertisements

Tiga minit selepas itu, Wales cuba menguji pertahanan Iran menerusi percubaan kapten mereka, Gareth Bale. Tetapi malangnya, percubaan bekas pemain Tottenham Hotspur itu berjaya ditangkap kemas Hossein Hosseini.

Iran yang tersentak terus menguji Wales menerusi sepakan percuma kapten Ehsan Hajsafi pada minit ke-45 tetapi berjaya dikeluarkan daripada garisan gol The Dragons. Tetapi giliran Gholizadeh mencuba dari luar kotak penalti tetapi sepakan kencangnya berjaya diselamatkan penjaga gol Nottingham Forest, Wayne Hennessey.

Selepas rehat, Iran terus memburu gol pertama perlawanan. Pada minit ke-51, sepakan kencang Azmoun hanya mengenai tiang sebelum cubaan susulan Gholizadeh turut mengalami nasib sama. Bola yang memantul cuba ditanduk pemain sayap Charleroi itu tetapi berjaya ditangkap oleh Hennessey.

Advertisements

Wales yang terdesak memasukkan Brennan Johnson dan Dan James untuk menambah sengat serangan mereka. Tetapi Team Melli terus menguji kecekapan Hennessey menerusi percubaan Morteza Pouraliganji (minit ke-71) dan Saied Ezatolahi (minit ke-73). Ben Davies kemudiannya menguji Hosseini pada minit ke-84 tetapi berjaya ditepis keluar.

The Dragons kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 pemain selepas Hennessey dibuang padang pada minit ke-86. Ini selepas VAR mendapati Hennessey berlanggar dengan Mehdi Taremi semasa cuba mendapatkan bola. Wales terpaksa mengeluarkan bekas pemain Juventus, Aaron Ramsey bagi membolehkan Danny Ward mengawal gawang mereka.

Dengan perlawanan berada di penghujung, Team Melli terus menggugat pertahanan Wales. Tetapi akhirnya, Iran berjaya menembusi gawang The Dragons menerusi sepakan jarak jauh Rouzbeh Cheshmi pada minit ke-98. Wales kecewa lagi apabila bek kanan Ramin Rezaeian membolosi gawang mereka hasil serangan balas pada minit ke-101.

Advertisements

Dengan keputusan ini, Iran meraih tiga mata dalam Kumpulan B dengan Wales berada di tempat tercorot dengan satu mata. Wales perlu menang ke atas England pada 30 November jika mahu layak ke peringkat seterusnya. Manakala Iran perlu menewaskan Amerika Syarikat bagi menjamin kemaraan ke peringkat seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram