Piala Dunia: Belgium Tergamam Ditewaskan Maghribi
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Pasukan Belgium menerima nasib sama seperti Jerman dan Argentina apabila mengalami kekalahan mengejut 2-0 di tangan Maghribi dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia 2022.

Babak pertama menyaksikan permainan seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan sebaik sepak mula. Maghribi terlebih dahulu menguji pertahanan Belgium menerusi gerakan Hakim Ziyech seawal minit pertama tetapi hantarannya dipintas penjaga gol Thibaut Courtois sebelum sampai kepada penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri.

Tersentak, The Red Devils menguji pula pertahanan Maghribi menerusi gerakan cantik Thorgen Hazard sebelum sepakannya ditepis keluar penjaga gol Munir Mohamedi pada minit kelima. Sepakan sudut yang diambil selepas itu berjaya dikeluarkan barisan pertahanan Maghribi.

Advertisements

Hazard terus menjadi duri dalam daging kepada Singa Atlas menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-15. Umpanannya itu berjaya disambut oleh ayam tambatan Manchester City, Kevin de Bruyne sebelum melepaskan rembatan dari jarak 25 kaki tetapi berjaya ditepis penjaga gol Al-Wehda itu.

Maghribi mula memperkemas rentak mereka dan perlahan-lahan menyerang lawan yang menduduki ranking kedua dunia itu. Dan sebelum rehat, Singa Atlas menyangka telah mendahului menerusi sepakan percuma Ziyech. Tetapi gol tersebut dibatalkan VAR atas alasan kapten Roman Saiss didapati ofsaid semasa bola menerjah jaring Courtois. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan terus memburu gol pertama perlawanan. Ziyech sekali lagi menguji Courtois pada minit ke-50 selepas menerima hantaran En-Neysiri tetapi berjaya ditangkap penjaga gol Real Madrid itu. Abang Thorgen, Eden Hazard kemudiannya menguji Mohamedi pada minit ke-52 selepas melepasi Noussair Mazraoui tetapi penjaga gol Maghribi itu menepis bola keluar.

Advertisements

Bekas pemain Southampton, Soufiane Boufal hampir meletakkan Singa Atlas di hadapan menerusi satu sepakan jarak jauh pada minit ke-54. Bagaimanapun, percubaan penyerang Angers itu tidak mengenai sasaran. Enam minit selepas itu, Mazraoui pula mencuba dari jarak jauh tetapi sepakannya tersasar jauh dari gawang The Red Devils.

Pengurus Belgium, Roberto Martinez segera memasukkan Youri Tielemans dan Dries Mertens bagi mencari gol Belgium. Dan Mertens tidak menunggu lama menguji Mohamedi menerusi percubaan pada minit ke-65 selepas menggelecek beberapa pemain Maghribi tetapi berjaya ditolak keluar penjaga gol Al-Wehda.

Kegagalan Belgium menembusi gawang Maghribi akhirnya membawa padah. Sepakan percuma Abdelhamid Sabiri pada minit ke-73 berjaya menembusi gawang The Red Devils. Tidak seperti gol Ziyech yang dibatalkan akibat ofsaid, gol pemain tengah Sampdoria itu dikira sekaligus gol pertama Maghribi dalam Piala Dunia 2022.

Advertisements

Belgium memasukkan penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku bagi memburu gol penyamaan. Tetapi Singa Atlas terus kental menyerap tekanan The Red Devils. Malah, mereka hampir menambah gol kedua menerusi Abderrazak Hamdallah pada minit ke-89 tetapi berjaya ditepis keluar Courtois.

Sisa perjuangan Belgium akhirnya berjaya ditamatkan menerusi Zakaria Aboukhlal pada minit ke-91 selepas menerima umpanan Ziyech. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Maghribi menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan Belgium di tangga kedua dengan tiga mata. Tetapi kedudukan boleh saja berubah selepas satu lagi aksi Kumpulan F membabitkan Croatia dan Kanada. Belgium perlu menang dengan Croatia pada 1 Disember jika mahu layak ke peringkat seterusnya. Manakala Maghribi hanya perlu mengelak kekalahan bila bertemu Kanada pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram