Penyerang Belgium, Romelu Lukaku meranapkan misi 3 mata Mesir dalam aksi pertama kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 pada awal pagi Selasa.
Dua negara hebat Eropah dan Afrika ini bertemu dengan Belgium berjaya bangkit untuk mengikat Mesir dalam perlawanan pertama hasil kehadiran dan impak segera yang dibawa oleh mesin gol, Romelu Lukaku di hujung aksi.
Senarai pemain Belgium diketuai oleh pemain berpengalaman seperti Kevin De Bruyne, Youri Tielemens serta Thibaut Courtois sementara Mesir tampil dengan kesebelasan terbaik ditunjangi oleh bekas bintang Liverpool FC, Mo Salah.
Jaringan pembukaan berhasil diperoleh pasukan Mesir seawal minit ke-20 menerusi rembatan deras kaki kanan Emam Ashour dari luar kotak penalti yang tidak memberikan peluang kepada Thibaut Courtois bagi menafikan sepakan itu
Seakan tersentak, Belgium cuba menyamakan kedudukan dengan gerakan yang diatur dari sebelah sayap namun peluang yang terhidang gagal untuk disempurnakan termasuklah sepakan Jeremy Doku yang melambung tinggi ke udara.
Babak kedua menyaksikan ketua jurulatih Belgium, Rudi Garcia membawa masuk Romelu Lukaku pada minit ke-64 bagi menambah kekuatan jentera serangan dan bekas penyerang Manchester United itu tidak mensia-siakan peluang.
Larian Romelu Lukaku ke dalam kotak penalti menjadi punca kepada gol penyamaan Belgium setelah bek kanan Mesir, Mohamed Hany tertampan bola ke gawang sendiri ketika mengawal gerakan penyerang tinggi lampai itu.
Pertarungan epik 90 minit di Lumen Field, Seattle, USA berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Aksi seterusnya kumpulan G selepas ini bakal menyaksikan Belgium turun berentap bersama negara Asia, Iran sementara Mesir pula berdepan cabaran New Zealand dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 22 Jun ini.