Piala Dunia FIFA: Australia Mula Langkah Kanan, Mudah Benam Turki
MakanBola
FA Australia

Aksi kedua Kumpulan D menemukan Turki dan Australia, dengan Australia mencipta kejutan apabila mudah menewaskan wakil Eropah itu 2-0.

Meskipun Australia berada pada kedudukan ranking yang lebih tinggi berbanding Turki, pasukan Eropah itu tetap dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan berdasarkan barisan pemain berprofil tinggi yang dimiliki, antaranya Merih Demiral, Hakan Calhanoglu, Arda Guler dan Burak Yılmaz.

Perlawanan bermula dengan agak perlahan apabila kedua-dua pasukan tampil berhati-hati sepanjang 10 minit pertama. Namun, Turki lebih banyak menguasai permainan dan mengawal tempo perlawanan.

Ketika Turki sedang rancak melancarkan serangan, Australia berjaya memanfaatkan satu serangan balas pantas untuk memecah kebuntuan. Nestory Irankunda mempamerkan kepantasan luar biasa apabila melepasi dua pertahanan Turki sebelum tenang menewaskan penjaga gol lawan bagi meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Australia, Turki segera meningkatkan intensiti serangan dalam usaha memburu gol penyamaan. Pasukan itu hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Abdulkerim Bardakci, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Australia sebelum bola melantun mengenai palang. Situasi itu sekali gus memadamkan peluang terbaik Turki untuk kembali mengikat kedudukan.

Menjelang tamat separuh masa pertama, Nestory Irankunda hampir menggandakan kelebihan Australia selepas berjaya mencipta ruang untuk melakukan percubaan berbahaya. Bagaimanapun, Ugurcan Cakir bertindak cemerlang dengan menangkap kemas rembatan tersebut, sekali gus memastikan Turki hanya ketinggalan satu gol ketika kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan Australia mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Turki meneruskan usaha mereka bagi mencari jaringan penyamaan dengan variasi gerak serangan merbahaya namun pertahanan Australia yang diketuai Harry Souttar mempamerkan disiplin tinggi bagi mematahkan setiap serangan.

Pada minit ke-57, Arda Guler hampir menyamakan kedudukan buat Turki namun percubaan lencongnya berjaya diselamatkan Beach di gawang Australia.

Pemain gantian, Kenan Yildiz yang masuk pada permulaan separuh masa kedua, berjaya menambah bisa buat Turki apabila acapkali membuatkan pertahanan Australia terpaksa bekerja keras.

Pada minit ke-75, Connor Metcalf yang beraksi di Jerman membuktikan beliau mempunyai magis tersendiri. Bermula dengan hanya satu clearance ke kawasan tengah, Australia mengambil kesempatan daripada kawalan bola Turki yang longgar. Metcalfe merampas peluang itu, membawa bola beberapa meter ke hadapan sebelum memotong ke tengah dan melepaskan rembatan untuk jaringan kedua Australia. Australia di hadapan 2-0.

Turki kini melancarkan serangan bertali arus dalam usaha mencari jalan kembali ke dalam perlawanan. Australia pula terpaksa berkampung di kawasan sendiri, bertahan habis-habisan untuk melindungi kelebihan dua gol yang dimiliki.

Walaupun diasak bertalu-talu pada penghujung perlawanan, Australia kekal tenang dan berdisiplin dalam bertahan untuk mengekalkan kelebihan mereka. Benteng pertahanan Socceroos berjaya menangkis setiap ancaman yang dilancarkan Turki sebelum wisel penamat akhirnya ditiup.

Australia menutup tirai perlawanan dengan kemenangan bergaya 2-0, sekali gus memulakan kempen Piala Dunia kali ini dengan langkah kanan yang cukup meyakinkan. Tiga mata berharga berjaya diraih, memberikan suntikan keyakinan besar menjelang aksi-aksi seterusnya dalam saingan Kumpulan D.

Untuk aksi seterusnya, Australia akan bertemu tuan rumah, Amerika Syarikat pada 20 Jun manakala Turki pula akan bertemu Paraguay pada tarikh yang sama.