Australia layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026 meskipun sekadar seri tanpa jaringan dengan Paraguay dalam aksi terakhir Kumpulan D.
Australia hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi Amerika Syarikat (US) ke pusingan seterusnya selaku juara kumpulan. Paraguay pula perlu menang jika mahu memburu tiket naib juara kumpulan.
Harry Souttar mengetuai benteng The Socceroos. Julio Enciso pula menjadi sandaran gol jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal di Stadium Levi’s. Paraguay dilihat mengasak menerusi Enciso dan penyerang Independiente, Gabriel Avalos.
Paraguay hampir dibolosi menerusi percubaan pemain tengah berpengalaman Australia, Jackson Irvine. Malangnya, percubaan pemain tengah St. Pauli itu pantas dinafikan Orlando Gill.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari sentuhan gol menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Australia dan Paraguay terus bergelut untuk memecah kebuntuan perlawanan.
Australia kemudiannya memasukkan pemain gantian, Christian Volpato untuk menambah sengat di bahagian serangan. Alex Arce pula dibawa masuk menggantikan Avalos.
Jordan Bos hampir meraih gol kemenangan buat Australia tetapi percubaannya tersasar. Ini memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.
Meskipun seri, Australia layak selaku naib juara Kumpulan D kerana memiliki kelebihan jaringan. Paraguay berpotensi mara ke pusingan seterusnya selaku pasukan ketiga terbaik dengan syarat keputusan kumpulan-kumpulan lain memihak kepada mereka.
Sofascore memilih Matias Galarza sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini selepas beliau meraih 7.3 mata, 0.1 mata di hadapan Souttar.